Meraikan Kepelbagaian Dalam Transformasi Pendidikan Negara: Tetap Pertahankan FPK

on Monday, September 17, 2012

M. Kogan dalam karyanya yang berjudul ‘The Politics of Educational Changes’ (1978) meyentuh secara langsung tentang betapa sukarnya  melakukan perubahan dalam konteks pendidikan secara menyeluruh.

Beliau menyatakan: “Pendidikan itu politik. Ia sensitif. Ia menggambarkan hasrat dan pilihan masyarakat yang pelbagai yang sering berkonflik”.Memang tidak dinafikan, melakukan perubahan kepada sistem bukan suatu tugasan mudah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kepelbagaian budaya, agama dan identiti bangsa menyulitkan lagi proses pelaksanaan transformasi.

Pastinya isu-isu sensitif yang melibatkan kepentingan kaum-kaum tertentu akan diperhalusi dengan penuh ketelitian agar segala tindakan kerajaan tidak menjadi bebanan yang merugikan.Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya diberikan pujian atas keberanian mereka mengusulkan penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan seperti yang dibentangkan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 pada 11 September yang lalu.

Respon dan reaksi yang pelbagai diterima selepas pembentangan ini berlangsung. Pastinya ada pihak yang tidak berpuas hati kerana tuntutan mereka tidak dimasukkan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan ini.Ada pihak yang masih bertegas mendesak pihak Kementerian mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Malah, mereka juga seolah-olah menuntut diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris seperti yang pernah wujud pada era kolonial dan tahun-tahun awal kemerdekaan negara dahulu.

Ada pula pihak yang mendesak kementerian agar lebih telus dalam penyediaan pelan ini dan mendesak supaya laporan panel khas Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diketuai oleh Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dikeluarkan untuk diakses oleh masyarakat awam.Malah tidak sedikit pula yang menyokong dan mempertahankan laporan awal Pelan ini.

Dalam riuh rendah reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat selepas pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan ini, adalah wajar untuk difikirkan langkah-langkah yang realistik dalam mencapai kualiti pendidikan. Kualiti pendidikan tidak seharusnya diperjudikan gara-gara ingin meraikan kepelbagaian dan tuntutan pelbagai pihak.

Seorang ahli akademik yang juga merupakan tokoh pendidik dan pengkaji sistem pendidikan di Malaysia, Prof. Dr. Sufean Hussin pernah menggariskan lima langkah utama mencapai peningkatan kualiti:

1. Memperkemas jentera perkhidmatan infrastruktur.
2. Memperkemas jentera pentadbiran dan organisasi pendidikan.
3. Mengkaji dan menyusun semula kurikulum sekolah dan institut pengajian tinggi.
4. Menyusun semula kurikulum dan sistem latihan perguruan di maktab dan universiti.
5. Memperbaiki teknik dan sistem penilaian dan pentaksiran.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dibentang baru-baru ini boleh dikatakan memenuhi kelima-lima langkah pencapaian kualiti seperti yang digariskan di atas. Dengan perangkaan jangka masa pelaksanaannya serta fokus dan jangkaan keberhasilan yang jelas memungkinkan berlakunya perubahan dalam sistem sedia ada.

Cuma yang menggusarkan, apakah pelaksanaan dan operasinya nanti akan memenuhi aspirasi masyarakat Malaysia yang majmuk dan rencam? Bagaimanakah kebijaksanaan pihak kementerian dalam meraikan kepelbagaian ini agar kualiti pendidikan dapat ditingkatkan selaras dengan perubahan sistem yang dilaksanakan? Jangan pula kerana takut kehilangan sokongan politik dan undi, tawar-menawar yang tidak menguntungkan berlaku.

Masyarakat Malaysia tentunya tidak mahu laporan Pelan Pembangunan Pendidikan yang tebal ini sekadar menjadi helaian lembaran yang disusun dengan laras bahasa yang mempersonakan semata-mata, tanpa kesediaan dan kesungguhan yang sebenar-benarnya daripada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakannya sehingga berhasil seperti yang dirancangkan.

Oleh yang demikian, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 seharusnya menjadi tonggak yang tetap tekal dalam setiap transformasi yang ingin dilakukan.  Walau apa pun tuntutan masyarakat, FPK harus terus tetap dipertahankan.

Bagi masyarakat Malaysia yang prihatin, masih ada peluang menyatakan pandangan dan mengemukakan cadangan mahupun kritikan terhadap pelan ini sehingga penghujung tahun 2012 ini. 

on Thursday, March 19, 2009

on Thursday, November 13, 2008

RISALAH UNTUK KAUM MUSLIMIN; ULASAN RINGKAS


Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas



RISALAH UNTUK KAUM MUSLIMIN
ulasan oleh : Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh

Tajuk Buku : Risalah Untuk Kaum Muslimin
Pengarang : Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas
Genre : Agama dan Falsafah
ISBN : 983-9379-18-6
Cetakan : Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam (ISTAC)


Menanggap kondisi kaum muslimin dewasa ini dalam perspektif yang holistik dan komprehensif bukan suatu perkara mudah. Lebih-lebih lagi, usaha ini menuntut kepada disiplin pengamatan yang tinggi dan pemahaman mendalam tentang weltanschauung; pandangan alam atau tasawwur (worldview) tentang hidup dan kehidupan. Inilah antara keistimewaan pencetus karya ini, Professor Syed Muhammad Naqib al-Attas (al-Attas); tokoh pemikir, seniman akal budi nan gemerlapan. Cetusan-cetusan pemikiran tokoh ini yang pada asalnya merupakan kata lisan, kata-kata nasihat dan pandangannya, dicatat dalam bentuk tulisan ringkas yang kemudiaannya ditaip dan naskah asal yang lengkap akhirnya diterbitkan oleh Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) pada tahun 2001 untuk tatapan umum setelah hampir 30 tahun berlalu ia dirakamkan (tahun 1973-74).

‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ (Risalah) merupakan sebuah karya berkonsepsi warkah atau risalah (surat); menyelami penderitaan kaum muslimin, bukan derita fizikal, akan tetapi derita jiwa akibat kekeliruaan diri yang berakar daripada penyelewengan dan salah faham tentang Islam dan pandangan hidup. Risalah ini sememangnya penting dan wajar dijadikan santapan akal bagi yang berhajat mengislah diri dan masyarakatnya, bukan sahaja bagi bangsa ini (Melayu Nusantara), bahkan Muslimin sedunia kerana permasalahan yang yang terhurai di dalamnya (Risalah) itu berkenaan masalah kekeliruan mendalam yang sama dideritai oleh kaum muslimin di serata dunia.

Gaya penyampaian dalam bentuk perbandingan antara tamadun Islam dengan Tamadun lain khususnya Barat telah berjaya mengetepikan hegemoni Tamadun Barat yang diagung-agungkan itu daripada tetapan minda (mind setting) pembaca. 74 perenggan yang merangkum perbahasan dan hujah, yang disandarkan kepadanya dalil-dalil akliah (lojik) dan nakliah (al-Quran dan as-Sunnah) yang termuat dalam Risalah ini perlu diteliti dan ditekuni tanpa terlepas pandang walau satu pun ayat kerana kesinambungannya yang merantai. Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas (al-Attas) telah berjaya menggarap permasalahan ummat dengan begitu baik serta menyantuni semua aspek kehidupan dan ketamadunan sesuai denagn konsep pandangan alam Islami. Pandangan dan tilikannya bersifat malar hijau; bernas dan tetap releven merentasi zaman.

Menurut al-Attas, tindanan masalah dan kerumitan jiwa orang Islam sekarang adalah sebenarnya akibat tiga aspek yang saling berpautan ; akibat kejatuhan maruah diri dan kedangkalan ilmu dan akhirnya kekurangan iman (rujuk perenggan dua). Islam pada hakikat batinnya tiada tersentuh oleh pencabulan masa dan kekaburan ataupun perubahan seperti yang telah berlaku pada agama dan falsafah yang lain. Akan tetapi pada hakikat zahirnya Islam itu ditayang kepada dunia oleh penganutnya. Al-attas mengumpamakan penganut agama Islam seumpama ‘cermin bidal tamsil’ yang menangkap sinar mentari Islam yang terang benderang itu. Namun cermin yang kusam dan kelam dikabuti debu tetap tak dapat memantulkan sinaran cahaya benderang yang dipancarkan kepadanya. Bagi yang jahil dalam kalangan manusia maka akan terungkaplah dalam persepsi akliah mereka bahawa cahaya benderang (Islam) itulah yang kotor dan kusam, bukannya cermin (segelintir penganut agama Islam). Kekeliruan dan tanggapan palsu ini memang nyata ada dan berjaya mengecutkan hati Muslimin yang lemah dan menggoncang imannya. (Rujuk perenggan 3)

Merujuk kepada perenggan 9-11, al-Attas mula membawa pembaca mengenali sifat-sifat asasi dalam kebudayaan Barat; yang menjadi domain dalam tamadun dunia hari ini. Huraian-huraian dalam perenggan ini merupakan rentetan daripada perenggan 7 yang mengimbas kembali titik mula penyelewengan dalam agama Kristian yang cuba memadamkan cahaya Islam sebelum kemunculan Guru Agung, Nabi Muhammad S.A.W lewat pengetahuan mereka tentang agama yang hak ini (Islam) ini melalui kitab-kitab yang ditanzilkan kepada nabi-nabi mereka. Kebudayaan Barat mengalami era evolusi dan mula memakai doktrin sekular dek kerana banyak memeluk tradisi perbendaharaan turun temurun, kesenian, falsafah, ilmu sains dan teknologi yang mendasari kehidupan mereka. Pemungkiran daripada kepercayaan terhadap agama diperkukuhkan lagi oleh kekecewaan
Dalam pengalaman beragamakan kristian yang tidak berhasil menatijahkan keyakinan melainkan waham (ilusi) dan wasangka. Perihal ini dihuraikan oleh al-Attas dengan pengenalan kepada faham kebangsaan dan humanisme dalam kerangka kebudayaan Barat yang akhirnya mengangkat agama sebagai ‘alat negara’ semata-mata.

Perenggan 12 hingga 20 merujuk kepada aspek pandangan alam yang bersifat paling asas; berkaitan ‘logos’ yang merujuk kepada pengertian faham dalam perspektif agama, ilmu dan keadilan. Dalam kerangka pemahaman Islam, agama ialah Tanzil daripada Tuhan yang hak (Allah) kepada manusia yang dilangsungkan dengan perantaraan wahyu kepada Nabi dan Rasul. Ini berbeza sekali dengan faham agama yang selain daripadanya di mana mereka menganggap agama sebagai sehimpunan kepercayaan tahyul ataupun satu pihak lagi berpendapat agama sebagai rekaan yang membentuk pendapat dan peraturan yang disusun manusia untuk mengawal kesejahteraan komuniti dan negara.

Perenggan seterusnya (perenggan 21) sehingga perenggan 31 membicarakan aspek-aspek terbitan daripada aspek-aspek asas pandangan alam; kebudayaan dan kedudukan agama, kebebasan, akhlak dan amalan akhlakiah, serta perubahan, pembangunan, dan kemajuaan. Aspek-aspek ini diulas oleh al-Attas dalam kolumni perbandingan antara Islam dan Kebudayaan Barat. Antara buah hasil daripada kebobobrokan kebudayaan barat ialah jurang generasi dan krisis identiti. (rujuk perenggan 32). Keadaan ini berlaku atas sebab ketiadaan nilai-nlai utuh yang dapat menjawab persoalan-persoalan seperti “siapa aku?”, “apa tujuan hidupku?" dan sebagainya. Justeru, generasi muttakhir merasa mereka tak perlu terikat dengan budaya tradisi kerana yang tradisi itupun belum tentu kenal dirinya, lalu mengambil budaya lain; celupan–celupan unsur luaran yang dirasakan sesuai sedang mereka tidak mengetahuinya.

Permasalahan krisis identiti yang berlaku (dalam Tamadun Barat) seperti yang disebutkan dalam perenggan 32 itu dijawab oleh Tamadun Islam melalui penonjolan personaliti dan karektor agung, Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Al-Attas memperjelaskan tentang nilai-nilai murni akhlak Islamiyah yang terpancar melalui didikan Rabbani dan rerelevensinya terhadap seluruh lapisan masyarakat; tanpa sebarang dekonstruksi perspektif bagi kedua-dua generasi. Rasulullah S.A.W juga dirujuk sebagai manusia yang menjadi contoh sempurna bagi seluruh kaum Muslimin malah bagi seluruh keturunan Islam dari saat pertama mula menjelma Ummat Islam hingga ke akhir zaman.

Satu aspek penting ketamadunan iaitu, bahasa turut dipolemikkan al-Attas. Dalam hal ini beliau ada menyifatkan Bahasa Arab selaku bahasa universal yang mampu meresap dan merencanakan istilah-istilahnya ke dalam bahasa yang di dampinginya; sebagai contoh Bahasa Melayu, Bahasa Parsi dan juga Bahasa Turki. Bahasa Arab yang juga dirujuk sebagai Bahasa Al-Quran juga mempunyai nilaian yang cukup bermakna dalam istilah-istilah yang digunapakai. Sebagai contoh, istilah ‘alam’ terbentuk daripada perkataan alamat (tanda/ciri-ciri yang memberitahu tentang sifat sesuatu yang dirujuk) yang berakar pada kata ‘ALM, yang juga merupakan kata akar bagi perkataan ilmu. Alam boleh kita tafsirkan sebagai tanda-tanda atau ciri-ciri yang merujuk kepada sesuatu perkara sehingga jelas kepada kita apakah dia perkara yang dirujuk (makna perkara itu). Dan ilmu memang merujuk kepada sesuatu makna sesuatu kerana ilmu adalah perolehan diri akan makna sesuatu. Dengan itu, nampak jelas bahawa ada kesinambungan antara maksud alam dan ilmu yang berakar daripada perkataan yang sama (‘ALM) yang membawa pengertian tanda-tanda yang memberi makna kepada sesuatu yang dirujuk. Secara keseluruhannya, signifikasi istilah alam ini merujuk kepada tanda-tanda kewujudan dan kekuasaan Tuhan dan untuk memperoleh hakikat ketuhanan, perlu melalui jalan ilmu.

Berbincang soal bahasa pastinya akan bersangkutan kesusasteraan dan kesenian (rujuk perenggan 40-49). Pasti sahaja perbahasan bahasa ini terserlah perinya dalam Peradaban Islam. Menurut al-Attas, secara zahirnya, mungkin dapat kita menerima adanya faham-faham dalam Islam yang seakan-akan sama dengan yang terdapat dalam Kebudayaan Barat mengenai falsafah perihal rasa-seni terhadap keindahan dan kecantikan, mengenai kesusasteraan dan keseniaan (rujuk perenggan 40), namun yang ditolak dalam hal ini ialah beberapa faham asasi yang berkaitan dengan tujuan dan peranan kesusasteraan. Yang jelas bertentangan dengan Islam ialah faham perubahan dasar (rujuk perenggan 36 dan 45).

Dalam perenggan 46, al-Attas membawa pembaca memperjelas persepsi terhadap ‘adab’. Al-Attas menyatakan bahawasanya adab itu terbahagi kepada dua aspek; pengenalan dan pengakuan. Pengenalan bermaksud memberi takrifan kepada ‘sesuatu’ berdasarkan haknya manakala pengakuan bermaksud meletakkan ‘sesuatu’ itu sesuai dengan pengenalannya. Secara mudahnya, pengenalan itu ilmu dan pengakuan itu amal. Bak kata pepatah Arab dan Melayu, ilmu tanpa amal ibarat pokok tak berbuah. Sekiranya tercabut salah satu daripada dua aspek tadi, maka tidak akan muncul apa yang dikatakan sebagai adab itu. Selain itu, penting untuk kita fahami bahawa adab tidak terbatas kepada sesama manusia sahaja, malah dengan haiwan, tumbuhan, alam, harta benda; semua jenis makhluk (ciptaan) dan yang paling utama dengan al-Khaliq (pencipta). Justeru, golongan beradab tidak akan sewenangnya mencabuli dan menindas hak orang lain, mengeksploitasi hasil bumi secara rakus kerana tamakkan wang, dan melanggar perintah Tuhan dalam hal ibadah mahupun muammalah.

Faktor-faktor dalaman yang mengakibatkan kegentingan bagi Kaum Muslimin mula dibicarakan secara tertumpu dan panjang lebar dalam perenggan 50 hingga 69. Al-Attas merumuskan sebab-sebab yang menimbulkan masalah kegentingan yang mengharungi Kaum Muslimin ada tiga perkara mengikut gilirannya masing-masing iaitu yamg pertama, kekeliruan dan kesilapan mengenai faham ilmu yang mengakibatkan keruntuhan adab dalam kalangan Kaum Muslimin. Kekeliruan faham ilmu dan keruntuhan adab akhirnya menjelmakan kewibawaan dan ini merujuk kepada para pemimpin yang tidak layak memikul tanggungjawab pimpinan yang sah dan tidak mencapai taraf kepimpinan yang dikehendaki dalam Islam. Pemimpin lemah inilah yang mengekalkan terjadinya kekeliruan ilmu dan keruntuhan adab sekaligus menjamin produktiviti kepimpinan sepertinya. Turut disentuh oleh beliau ialah mengenai golongan modernis atau pembaharu Islam yang berniat untuk memurnikan semula ajaran Islam daripada unsur-unsur luaran yang menyerang, namun tanpa disedari, disebabkan ketidak kukuhan ilmu, menyebabkan mereka terhimbau dengan unsur yang mereka serang. Perbalahan yang ditimbulkan oleh golongan ini menayangkan kelemahan mereka dalam pelbagai aspek, songsang dengan dakwaan sebagai ‘pembaharu agama’; hakikatnya mereka sangat jauh ketinggalan daripada golongan pemikir dan ilmuan agung, para mujtahidin yang ketinggian ilmu mereka tak dapat ditandingi, apatah lagi oleh golongan muttakhir yang mendakwa diri mereka sebagai golongan ‘tajdid’ (pembaharu).

Dalam perenggan-perenggan penghujung Risalah ini (perenggan 70-74), al-Attas cuba menyedarkan Kaum Muslimin tentang faham akal dan peranannya serta gabungjalinan antara keupayaan akal dengan penghayatan naqal (wahyu). Juga, turut disentuh tentang sekularisme dan sekularisasi (proses pensekularan). Al-Attas menganggap akal bukanlah suatu fakulti yang boleh diremeh-temehkan dan bukan juga satu fakulti yang boleh diagung-agungkan sehingga melampaui had upayanya. Seyogianya, akal dilihat sebagai suatu anugerah Tuhan nan Maha Bijaksana yang memberi keupayaan yang hebat namun terhad supaya manusia sedar akan kelemahan dan kekerdilannya di hadapan Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Dalam Peradaban Barat, akal dilihat sebagai sebuah entiti yang bersifat ratio (rasional) yang akhirnya menyuburkan sekularisasi. Ini berbeza dengan Peradaban Islam yang meletakkan akal sebagai entiti integretasi bersifat ratio dan intellectus, yang mana akal ini; ratio dalam hal-hal jasmaniah dan intellectus dalam hal-hal rohaniah.

Kesimpulannya, ‘Risalah Untuk Kaum Muslimin’ sememangnya sebuah karya yang cukup releven dengan keadaan Kaum Muslimin hari ini dan akan datang. Ia sepatutnya ditatapi oleh setiap Muslim dan idea-ideanya perlu diperluas dan diperkembangkan lagi bagi memulihkan pandangan alam Ummat Islam yang telah sekian lama terhimpit.

Maklumat Pengulas

Nama : Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
No. Kad Pengenalan : 891029-08-5733
No. Matrix : 071256
No. Telefon Bimbit : 013-2775313
Alamat e-mel : fazrilsaleh@yahoo.com
No. Bilik : Mahallah Abu Bakr’ 125

GYROTAC











EXECUTIVE SUMMARY
GROUP OF YOUNG RESEARCHES ON THOUGHT AND CIVILIZATION
(GYROTAC)


In The Name Of Allah
The Most Gracious And The Most Merciful

The education at the University is aimed not only at developing academic or intellectual potentials of the students. The moral and character building objective is a very important part of the curriculum. It is in fact a primary concern of education seen from the Islamic perspective, in so far as Islam look at human personality as an integrated whole, consisting of physical, emotional, intellectual, spiritual and social dimensions. In the University, the integration of knowledge with morality, professionalism with ethics and academic with spiritual virtues constitute our vision of education based on Islamic tradition of the quest for the knowledge that the Quran and Sunnah have implanted in Islamic Civilization. As the Islamic University, the authoritarian, students, lectures, staff, and other University’s community ought to understand and enjoy intelligently the values and norms of Islamic morality (Akhlak), decent behavior, and respectable attire that together reflect the University wishes to project and nurture.

Realizing the importance of all above, groups of young students who have the same interest have strived for establishing a new society as an effort to achieve those purposes. Group of Young Researches on Thought and Civilization (GYROTAC) is one of the places for students to build the comprehensive Muslim’s character through the understanding of Islam with the emphasizing on the naql-‘aql (Tradition-Reason) dialectic, also the science of comparative religion (Religionswissenschaft).

The principle objectives of the Society shall include the following:-

To co-operate with the University Authority in the implementation of the Islamic education and realize the aim and objectives of the University
To present an opportunity for the students to acquire knowledge about Islam, its values, history, civilization, institutions, thought and perspectives
To promote the development of an Islamic character and personality in the field of intellectual, academic and spiritual of the students
To promote a close relationship based on the spirit of Islam with organizations and institutions of local and abroad, in accordance with the university rules and regulations
To foster co-operation and unity amongst the University community a whole in the spirit of Islamic brotherhood

Dealing with the fundamental question of the nature of ‘worldview’ according to Islam; question that has never really been raised in our time, GYROTAC tries to propose that the nature of the worldview of Islam is not merely the mind’s view of the physical world and of man’s historical, social, political and cultural involvement in it, as has been misunderstood in the minds of secular, contemporary Muslim scholars generally, and particularly those preoccupied with the social and political sciences, but it should bear upon the Muslims’ ideas about ‘change’, ‘development’, and ‘progress’. The fundamental elements of the worldview of Islam, together with the key terms and concepts that they unfold, will be elaborated in detail in its programs and discussions.

Among the important concepts that will be discussed are the metaphysical worldview of Islam; knowledge and knowing; the meaning, content and method of education; the concept of an Islamic university, and the history of and the issues concerning the Islamization of present-day knowledge. Modern Muslim scholars who will appear in discussions include ‘Abduh, Iqbal, al-Faruqi, Fazlur Rahman, Syed Naquib al-Attas and S. H. Nasr, among others. Meanwhile, previous scholars such as al-Ghazali, Ibnu al-Arabi, Ibnu Sina, Fakr al-Din al-Razi and abul Hassan al-‘Asya’ari must not be isolated from discussions.

Programs which will be held to discover and discuss about thought and civilization are:-

· ‘Taadib Islami’ Seminar
o To discuss on the fundamental concept in Islamic Weltanschauung (worldview) such as religion (din), man (insan), knowledge (ma‘rifah and ‘ilm), wisdom (hikmah), justice (‘adl), and right action (‘amal and adab).
· Talk on scholars’ thought
o Discussing background, modes of thought, philosophy of life, also the achievement of selected scholars.
· Middle-Path Forum
o An Intellectual discourse; discussing the mainstream issues including social, politics, economy, etc; in national or international aspects with intellectual mode
· Book Review Session
o A discussion of reviewing on some important, famous, and controversial books
· Hujjah wa naqash
o Speech corner; session for debating, also giving speech and stating own opinion
· Ziarah
o Visiting scholars; to gain tips, knowledge and opinion from them directly

All programs will be open to all of the students, lecturers and staff of IIUM, especially the people of CFSIIUM. Finally, we hope that this group will achieve its objectives and it will becomes the ‘spark’ for the Muslim Intellectual’s development as an effort to achieve the biggest ambition of the Ummah; to bring back the ‘golden age’ of Islam and build ‘khayra ummah’ civilization. Last but the most important, may this effort gets Allah’s bless.








MEMORANDUM
BANTAHAN TERHADAP PERLANGGARAN
‘ETIKA KELAKUAN DAN PEMAKAIAN’
PUSAT ASASI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

UNIVERSITI ISLAM DAN RELEVENSINYA DENGAN NILAI-NILAI AKHLAK

Universiti merupakan sebuah institusi ’pengangkat tradisi keilmuan’ sejak zaman-berzaman. Dalam konteks Malaysia, pengamalan budaya ilmu bertunjangkan Islam dan nilai-nilainya menjadi mangkin kepada pembentukan generasi berilmu dan berhemah tinggi. Sebagaimana sedia maklum, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditubuhkan atas dasar mengangkat martabat Islam dan Ummah serta mewujudkan budaya Intelektual dalam kalangan Muslim sebagai usaha mencapai cita-cita besar Ummah untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam dan mewujudkan Tamadun Khayra Ummah. (rujuk Falsafah, Visi dan Misi UIAM)

Pendidikan di universiti mensasarkan bukan sekadar membangun potensi akademik atau daya fikir mahasiswa semata-mata. Akhlak, moral, dan pembinaan karektor juga merupakan elemen-elemen penting dalam kurikulum. Hakikatnya, pertimbangan utama dalam pendidikan (menurut perspektif Islam) adalah sama sebagaimana Islam melihat kepada personaliti manusia secara menyeluruh mencakupi dimensi jasmani, emosi, intelektual, spiritual dan sosial.

Dalam struktur universiti yang ideal, integrasi antara ilmu dengan akhlak, profesionalisme dengan etika dan kecemerlangan akademik dengan ketinggian budi membentuk visi pendidikan berteraskan tradisi Islam dalam membugar mutiara ilmu dan pengetahuan; sebagaimana yang digagaskan oleh Al-Quran dan AsSunnah dalam pembentukan Peradaban Islam.

Hubungan yang sopan antara individu-individu berlainan jantina, juga gaya dan cara pemakaian yang sesuai adalah merupakan pakej yang membentuk identiti Universiti Islam dan sepatutnya didefinisi dengan jelas untuk diimplementasikan, sesuai dengan perintah dan hukum syarak.

Selaku Universiti Islam, pihak pentadbir, pelajar, pensyarah, staf sokongan dan semua warga universiti sewajarnya menghayati nilai dan norma Akhlak Islami, menjaga tingkah laku dan mengamalkan budaya sopan santun dalam pergaulan dan pemakaian, yang mana semua ini merupakan refleksi kepada matlamat penubuhan universiti ini.

PENCABULAN TERHADAP ETIKA KELAKUAN DAN BERPAKAIAN YANG DITETAPKAN OLEH PIHAK UNIVERSITI

Dewasa ini, Peraturan Tetap Kelakuan dan Pemakaian yang telah termaktub dan menjadi salah satu panduan khusus bagi warga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) telah dengan sewenangnya dicabuli oleh para pelajar khususnya pelajar wanita Muslim. Mereka tanpa rasa bersalah mengenakan pakaian yang sendat, ketat, dan singkat di dalam mahupun di luar kawasan universiti dan ini jelas dan terang-terang bertentangan dengan syarak dan etika pemakaian Islam yang sebenar. Begitu juga dengan pelajar lelaki yang begitu bersahaja mengenakan seluar pendek ketika beriadah di padang. Selain itu, pergaulan yang tidak terjaga antara pelajar lelaki dan wanita nampak begitu ketara apabila mereka tanpa segan silu duduk semeja secara menghadap antara satu sama lain di kafeteria, berjumpa di kawasan gelap dan terpencil serta keluar berpacaran di kompleks-kompleks membeli belah pada hujung-hujung minggu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh pihak pentadbiran universiti oleh sebab natijah yang tidak baik bakal menimpa anak bangsa kita sekiranya gejala ini tidak dibendung secepat mungkin.

Sejajar dengan itu, atas semangat keadilan, demokrasi, dan kebebasan yang menjadi hak bagi semua rakyat Malaysia, kami selaku generasi mahasiswa sedar dan insaf menyatakan kekecewaan kami terhadap fenomena yang berlaku. Kami juga menyeru dan menggesa pihak yang berautoriti supaya bertanggung jawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dengan cara menegaskan penguatkuasaan Peraturan Tetap Kelakuan dan Pemakaian. Mekanisme-mekanisme lain seperti kaunseling, saman, denda samada dalam bentuk wang atau kerja amal dan juga kuliah-kuliah agama sewajarnya dilaksanakan bagi menangani kemelut ini. Kami percaya pihak pentadbiran universiti juga mengambil perhatian penuh terhadap masalah ini. Sekiranya pihak yang berautoriti gagal atau enggan bertindak, ini bermakna pengkhianatan telah berlaku terhadap matlamat penubuhan universiti, masa depan warga universiti, aspirasi rakyat yang memperjuangkan penubuhan universiti ini serta ummat Islam seluruhnya yang mahu melihat syiar Islam tertegak di muka bumi Allah ini.


KONKLUSI
Kami berharap memorandum ini mendapat perhatian pihak yang berautoriti. Berdiri di bawah naungan Perlembagaan Malaysia yang berpegang kepada prinsip-prinsip keadilan, demokrasi dan kebebasan bersuara, kami penuh yakin membawa memorandum ini untuk tatapan dan tindakan pihak atasan. Semoga Allah membuka mata, fikiran dan pintu hati kita bersama supaya lebih sensitif dan tidak hanya bersikap apati dengan isu-isu semasa dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Semoga mahasiswa UIAM bakal menjadi Muslim sejati yang akan membawa sinar baharu dan anjakan serta transformasi dalam masyarakat dan negara.


Disediakan oleh :

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Generasi Mahasiswa Sedar dan Insaf &
Grup Pengkaji Muda Pemikiran dan Peradaban
Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Disokong oleh :
Pelajar-pelajar Islam Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Warga universiti prihatin Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia











MEMUGAR BUDAYA ILMU

MEMUGAR BUDAYA ILMU



“Allah Meninggikan dikalangan kamu pencari ilmu yang beriman dengann beberapa darjat”
(Al– Mujadalah: 28)

Pembinaan Budaya Ilmu yang sepadu dan jitu merupakan pra-syarat awal dan terpenting bagi kejayaan, kekuatan dan kebahagiaan seseorang dan sesuatu bangsa. Hal ini diakui tokoh sejarawan terkemuka, Ibnu Khaldun. Malah, telah berlaku beberapa kali dalam sejarah, bagaimana sesuatu bangsa yang kuat tetapi tak ditunjangi dengan budaya ilmu yang baik, akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya. Hal ini boleh disimpulkan sebagai prinsip umum sejarah.

Kaum Biadab (Barbarian) yang terdiri daripada suku bangsa Jerman, yang suatu ketika dipimpin oleh Attilia (meninggal 453M), telah mengganas dan menakluk Imperaturia Roma sebelum abad ke-6 M, namun orang Jerman yang tidak berilmu dan bertamadun itu tidak berjaya memusnahkan Imperaturia Roma yang telah tegap berdiri dan merupakan salah satu tamadun tertinggi dalam sejarah manusia. Malah, Kaum Biadab itu yang ditakluki oleh kebudayaan Roma dengan mengikut cara dan kebiasaan hidup Romawi. Begitu juga halnya dengan bangsa Mongol di bawah pimpinan Genghiz Khan dan Kublai Khan dalam hubungan mereka dengan Tamadun China. Orang Mongol akhirnya telah di’China’kan. Waris mereka, Hulagu Khan dan Tamerlane yang mengganas dan menakluki Negara Islam di India Utara, Iran, dan beberapa bahagian di Timur Tengah juga telah menunjukkan kegagalan mereka dalam arena tamadun. Malah, bangsa Mongol dan Turki yang dahulunya amat biadab dan mengakibatkan banyak kerosakan ketamadunan Islam telah memeluk agama Islam, dan akhirnya melahirkan kekuatan tersendiri dalam sejarah Islam.







KONSEP ILMU DALAM ISLAM
Dalam perspektif Barat Moden, terutama kepada yang berpegang teguh dengan kaedah Sains, ilmu merujuk kepada persepsi jelas kepada fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara yang boleh ditanggap oleh panca indera zahir. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindara zahir dianggap bukan fakta dan tidak dikira termasuk dalam bidang ilmu. Dalam hal ini, merka menganggap ajaran agama secara mutlak terkeluar daripada ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan dan dugaan semata-mata. Itulah pandanagan mazhab Emperisisme yang didokong oleh tokoh seperti John Locke(meninggal 1776), Herbert Spencer (meninggal 1903) dan lain-lain. Namun, takrifan ilmu dalam Islam amat berbeza dengan yang difahami oleh Barat. Istilah “al-’Ilmu” dalam Islam membawa maksud al-Quran, syariah, sunnah, Islam, iman, ilmu kerohanian (ilmu al-ladunni), hikmah, makrifah,pemikiran, sains dan pendidikan.

Saifuddin al-Amidi (1233m) dalam kitabnya yang terkenal, Abkar al-Afkar telah mengumpul dan menganalisis semua takrif ilmu daripada para sarjana yang terdapat pada zamannya beliau mendapati bahawa takrif yang dikemukakan oleh Fakhruddin arRazi (meninggal 1209M) adalah yang terbaik.takrif ini diketengah dan ditambahbaik oleh prof. Syed Mohd Naquib al-Attas (al-Attas, kini berumur lewat 70-an dan menetap di Selangor), ialah seperti berikut
Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan ‘makna sesuatu’ ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu.

Takrif ini amat lengkap dan membayangkan peranan Allah sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia sebagai makhluk aktif dalam usaha mendapat ilmu. Tentu saja ilmu itu sesuatu yang benar dan hakiki kerana ia datang dari Tuhan..Takrif ini dengan sendirinya bermakna ilmu tidak sama denagan fakta, kemahiran atau maklumat, walau tentunya ia meliputi semua itu. Sebagai analogi, komputer direka untuk menyimpan pelbagai maklumat yang walaupun benar, tapi tak boleh dianggap sebagai berilmu kerana maklumat itu tidak membawa sebarang makna kepada komputer itu.

Mengetahui sesuatu tentunya menimbulkan kefahaman yang kemudiannya melahirkan keyakinan dalam diri. Dalam erti kata lain, ilmu adalah kualiti kerohanian yang tidak dimiliki oleh mesin atau computer. Malah, manusia pun kalau sekadar ada maklumat yang tidak bermakna dianggap oleh Allah seperti dalam Surah al-Jumuah (62):5 “keldai yang membawa lembaran-lembaran kertas”. Walaupun ayat ini merujuk kepada ahlul Kitab yang tidak mengambil manfaat daripada ilmu mereka, namun implikasi ayat ini juga universal.
Maka, perlu bagi kita selaku mahasiswa universiti Islam mengorak semula langkah bagi memugar kembali budaya ilmu sesuai dengan faham ilmu dalam Islam. Bermulalah dengan membaca bahan-bahan ilmiah dan jangan dilupa bahan bacaan paling utama yang menjadi cahaya petunjuk bagi yang menghayati dan mengamalkannya; Kitab al-Quran al-Karim, perlu dibaca dan ditadabbur setiap hari. Moga-moga kita semua berada di bawah lembayung rahmat Ilahi -