MEMORANDUM
BANTAHAN TERHADAP PERLANGGARAN
‘ETIKA KELAKUAN DAN PEMAKAIAN’
PUSAT ASASI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA
UNIVERSITI ISLAM DAN RELEVENSINYA DENGAN NILAI-NILAI AKHLAK
Universiti merupakan sebuah institusi ’pengangkat tradisi keilmuan’ sejak zaman-berzaman. Dalam konteks Malaysia, pengamalan budaya ilmu bertunjangkan Islam dan nilai-nilainya menjadi mangkin kepada pembentukan generasi berilmu dan berhemah tinggi. Sebagaimana sedia maklum, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditubuhkan atas dasar mengangkat martabat Islam dan Ummah serta mewujudkan budaya Intelektual dalam kalangan Muslim sebagai usaha mencapai cita-cita besar Ummah untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam dan mewujudkan Tamadun Khayra Ummah. (rujuk Falsafah, Visi dan Misi UIAM)
Pendidikan di universiti mensasarkan bukan sekadar membangun potensi akademik atau daya fikir mahasiswa semata-mata. Akhlak, moral, dan pembinaan karektor juga merupakan elemen-elemen penting dalam kurikulum. Hakikatnya, pertimbangan utama dalam pendidikan (menurut perspektif Islam) adalah sama sebagaimana Islam melihat kepada personaliti manusia secara menyeluruh mencakupi dimensi jasmani, emosi, intelektual, spiritual dan sosial.
Dalam struktur universiti yang ideal, integrasi antara ilmu dengan akhlak, profesionalisme dengan etika dan kecemerlangan akademik dengan ketinggian budi membentuk visi pendidikan berteraskan tradisi Islam dalam membugar mutiara ilmu dan pengetahuan; sebagaimana yang digagaskan oleh Al-Quran dan AsSunnah dalam pembentukan Peradaban Islam.
Hubungan yang sopan antara individu-individu berlainan jantina, juga gaya dan cara pemakaian yang sesuai adalah merupakan pakej yang membentuk identiti Universiti Islam dan sepatutnya didefinisi dengan jelas untuk diimplementasikan, sesuai dengan perintah dan hukum syarak.
Selaku Universiti Islam, pihak pentadbir, pelajar, pensyarah, staf sokongan dan semua warga universiti sewajarnya menghayati nilai dan norma Akhlak Islami, menjaga tingkah laku dan mengamalkan budaya sopan santun dalam pergaulan dan pemakaian, yang mana semua ini merupakan refleksi kepada matlamat penubuhan universiti ini.
PENCABULAN TERHADAP ETIKA KELAKUAN DAN BERPAKAIAN YANG DITETAPKAN OLEH PIHAK UNIVERSITI
Dewasa ini, Peraturan Tetap Kelakuan dan Pemakaian yang telah termaktub dan menjadi salah satu panduan khusus bagi warga Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PAUIAM) telah dengan sewenangnya dicabuli oleh para pelajar khususnya pelajar wanita Muslim. Mereka tanpa rasa bersalah mengenakan pakaian yang sendat, ketat, dan singkat di dalam mahupun di luar kawasan universiti dan ini jelas dan terang-terang bertentangan dengan syarak dan etika pemakaian Islam yang sebenar. Begitu juga dengan pelajar lelaki yang begitu bersahaja mengenakan seluar pendek ketika beriadah di padang. Selain itu, pergaulan yang tidak terjaga antara pelajar lelaki dan wanita nampak begitu ketara apabila mereka tanpa segan silu duduk semeja secara menghadap antara satu sama lain di kafeteria, berjumpa di kawasan gelap dan terpencil serta keluar berpacaran di kompleks-kompleks membeli belah pada hujung-hujung minggu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh pihak pentadbiran universiti oleh sebab natijah yang tidak baik bakal menimpa anak bangsa kita sekiranya gejala ini tidak dibendung secepat mungkin.
Sejajar dengan itu, atas semangat keadilan, demokrasi, dan kebebasan yang menjadi hak bagi semua rakyat Malaysia, kami selaku generasi mahasiswa sedar dan insaf menyatakan kekecewaan kami terhadap fenomena yang berlaku. Kami juga menyeru dan menggesa pihak yang berautoriti supaya bertanggung jawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dengan cara menegaskan penguatkuasaan Peraturan Tetap Kelakuan dan Pemakaian. Mekanisme-mekanisme lain seperti kaunseling, saman, denda samada dalam bentuk wang atau kerja amal dan juga kuliah-kuliah agama sewajarnya dilaksanakan bagi menangani kemelut ini. Kami percaya pihak pentadbiran universiti juga mengambil perhatian penuh terhadap masalah ini. Sekiranya pihak yang berautoriti gagal atau enggan bertindak, ini bermakna pengkhianatan telah berlaku terhadap matlamat penubuhan universiti, masa depan warga universiti, aspirasi rakyat yang memperjuangkan penubuhan universiti ini serta ummat Islam seluruhnya yang mahu melihat syiar Islam tertegak di muka bumi Allah ini.
KONKLUSI
Kami berharap memorandum ini mendapat perhatian pihak yang berautoriti. Berdiri di bawah naungan Perlembagaan Malaysia yang berpegang kepada prinsip-prinsip keadilan, demokrasi dan kebebasan bersuara, kami penuh yakin membawa memorandum ini untuk tatapan dan tindakan pihak atasan. Semoga Allah membuka mata, fikiran dan pintu hati kita bersama supaya lebih sensitif dan tidak hanya bersikap apati dengan isu-isu semasa dan apa yang berlaku di sekeliling kita. Semoga mahasiswa UIAM bakal menjadi Muslim sejati yang akan membawa sinar baharu dan anjakan serta transformasi dalam masyarakat dan negara.
Disediakan oleh :
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Generasi Mahasiswa Sedar dan Insaf &
Grup Pengkaji Muda Pemikiran dan Peradaban
Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Disokong oleh :
Pelajar-pelajar Islam Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Warga universiti prihatin Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


0 comments:
Post a Comment