Meraikan Kepelbagaian Dalam Transformasi Pendidikan Negara: Tetap Pertahankan FPK

on Monday, September 17, 2012

M. Kogan dalam karyanya yang berjudul ‘The Politics of Educational Changes’ (1978) meyentuh secara langsung tentang betapa sukarnya  melakukan perubahan dalam konteks pendidikan secara menyeluruh.

Beliau menyatakan: “Pendidikan itu politik. Ia sensitif. Ia menggambarkan hasrat dan pilihan masyarakat yang pelbagai yang sering berkonflik”.Memang tidak dinafikan, melakukan perubahan kepada sistem bukan suatu tugasan mudah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kepelbagaian budaya, agama dan identiti bangsa menyulitkan lagi proses pelaksanaan transformasi.

Pastinya isu-isu sensitif yang melibatkan kepentingan kaum-kaum tertentu akan diperhalusi dengan penuh ketelitian agar segala tindakan kerajaan tidak menjadi bebanan yang merugikan.Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sewajarnya diberikan pujian atas keberanian mereka mengusulkan penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan seperti yang dibentangkan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 pada 11 September yang lalu.

Respon dan reaksi yang pelbagai diterima selepas pembentangan ini berlangsung. Pastinya ada pihak yang tidak berpuas hati kerana tuntutan mereka tidak dimasukkan dalam laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan ini.Ada pihak yang masih bertegas mendesak pihak Kementerian mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Malah, mereka juga seolah-olah menuntut diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris seperti yang pernah wujud pada era kolonial dan tahun-tahun awal kemerdekaan negara dahulu.

Ada pula pihak yang mendesak kementerian agar lebih telus dalam penyediaan pelan ini dan mendesak supaya laporan panel khas Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diketuai oleh Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dikeluarkan untuk diakses oleh masyarakat awam.Malah tidak sedikit pula yang menyokong dan mempertahankan laporan awal Pelan ini.

Dalam riuh rendah reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat selepas pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan ini, adalah wajar untuk difikirkan langkah-langkah yang realistik dalam mencapai kualiti pendidikan. Kualiti pendidikan tidak seharusnya diperjudikan gara-gara ingin meraikan kepelbagaian dan tuntutan pelbagai pihak.

Seorang ahli akademik yang juga merupakan tokoh pendidik dan pengkaji sistem pendidikan di Malaysia, Prof. Dr. Sufean Hussin pernah menggariskan lima langkah utama mencapai peningkatan kualiti:

1. Memperkemas jentera perkhidmatan infrastruktur.
2. Memperkemas jentera pentadbiran dan organisasi pendidikan.
3. Mengkaji dan menyusun semula kurikulum sekolah dan institut pengajian tinggi.
4. Menyusun semula kurikulum dan sistem latihan perguruan di maktab dan universiti.
5. Memperbaiki teknik dan sistem penilaian dan pentaksiran.

Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dibentang baru-baru ini boleh dikatakan memenuhi kelima-lima langkah pencapaian kualiti seperti yang digariskan di atas. Dengan perangkaan jangka masa pelaksanaannya serta fokus dan jangkaan keberhasilan yang jelas memungkinkan berlakunya perubahan dalam sistem sedia ada.

Cuma yang menggusarkan, apakah pelaksanaan dan operasinya nanti akan memenuhi aspirasi masyarakat Malaysia yang majmuk dan rencam? Bagaimanakah kebijaksanaan pihak kementerian dalam meraikan kepelbagaian ini agar kualiti pendidikan dapat ditingkatkan selaras dengan perubahan sistem yang dilaksanakan? Jangan pula kerana takut kehilangan sokongan politik dan undi, tawar-menawar yang tidak menguntungkan berlaku.

Masyarakat Malaysia tentunya tidak mahu laporan Pelan Pembangunan Pendidikan yang tebal ini sekadar menjadi helaian lembaran yang disusun dengan laras bahasa yang mempersonakan semata-mata, tanpa kesediaan dan kesungguhan yang sebenar-benarnya daripada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakannya sehingga berhasil seperti yang dirancangkan.

Oleh yang demikian, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 seharusnya menjadi tonggak yang tetap tekal dalam setiap transformasi yang ingin dilakukan.  Walau apa pun tuntutan masyarakat, FPK harus terus tetap dipertahankan.

Bagi masyarakat Malaysia yang prihatin, masih ada peluang menyatakan pandangan dan mengemukakan cadangan mahupun kritikan terhadap pelan ini sehingga penghujung tahun 2012 ini.